Jumaat, 1 Julai 2016

LAILATUL QADAR?

BILAKAH 
1. Lailatul Qadar satu malam dalam bulan Ramadhan yang tidak diketahui dengan tepat tarikhnya. Ia lebih diharapkan untuk mendapatkannya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan, terutama malam-malam yang ganjil daripada 10 hari terakhir Ramadhan tersebut. Waktunya dikira apabila masuk waktu Maghrib sehingga terbit fajar. Seluruh ulama sepakat bahawa al-Quran diturunkan pada malam al-Qadar, sebahagian ulama berpendapat malam al-Quran diturunkan itu berlaku pada 17 Ramadhan, Syaikh Shafiyyurrahman al-Mubarakfury dalam kitab Sirah Nabawiyyah mengatakan al-Quran diturunkan pada malam ke 21 Ramadhan.
2. Satu kaedah mengetahuinya, kata Imam Ghazali, kebiasaannya, jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad dan Rabu maka Lailatul Qadar malam ke 29, jika hari Isnin maka Lailatul Qadar malam ke 21, dan jika hari Jumaat dan Selasa, maka Lailatul Qadar malam ke 27, jika hari Khamis maka Lailatul Qadar malam ke 25, jika hari Sabtu maka Lailatul Qadar malam ke 23. Tetapi kaedah ini bukanlah sesuatu yang muktamad, mungkin ia bertepatan dengannya dan mungkin juga tidak, mungkin juga ia berlaku pada malam yang genap, kerana bagi negara kita ia malam yang genap tetapi bagi negara yang puasa lewat atau awal satu hari, ia adalah malam yang ganjil, jadi carilah dengan tekun pada 10 malam yang terakhir tesebut.