Ahad, 25 September 2016

Melanggar Perintah Nabi

Seorang lelaki telah datang kepada al-Imam Malik dan berkata: “Wahai Abu ‘Abd Allah (gelaran al-Imam Malik) dari mana aku patut berihram?
Jawabnya: “Daripada Zu Hulaifah di tempat yang Rasulullah berihram”.
Kata lelaki itu: Aku ingin berihram bermula dari Masjid Nabi.
Jawab al-Imam Malik: “Jangan buat”.
Kata lelaki itu: Aku ingin berihram bermula dari kubur Nabi s.a.w..
Jawab al-Imam Malik: “Jangan buat, aku bimbang fitnah (kerosakan agama) menimpa kamu”.
Tanya lelaki itu: Apa fitnahnya?!! Ia hanya jarak yang aku tambah.
Jawab al-Imam Malik: “Apakah lagi fitnah yang lebih besar daripada engkau melihat bahawa engkau telah mendahului satu kelebihan yang RasululLah s.a.w yang telah menguranginya. Sesungguhnya aku telah mendengar Allah berfirman: (maksudnya) “Berhati-hatilah mereka yang menyalahi perintahnya (RasululLah s.a.w), jangan sampai menimpa mereka musibah, atau menimpa mereka azab seksa yang pedih (Surah al-Nur ayat 63)”
(Al-Syatibi, Al-I’tisam, m.s. 102 Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi)
Walaupun lelaki ini ingin berihram daripada tempat yang begitu baik iaitu masjid Nabi s.a.w, atau kubur baginda s.a.w, namun al-Imam Malik bin Anas membantahnya disebabkan ia ibadah yang tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w.
Beliau menyatakan ini adalah fitnah kerana seakan lelaki itu menganggap diri seakan dapat melakukan ibadah yang lebih baik daripada Nabi s.a.w.
Jelas, niat yang baik tidak memadai jika tidak berdasarkan petunjuk yang betul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan